Rabu, 19 Oktober 2011

FATWA

Apakah itu Fatwa?

Definisi Fatwa

Pada bahasa ia diambil daripada afta-ifta'an yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.
Dari Segi Istilah
Pada istilahnya pula, fatwa mempunyai pelbagai definisi antaranya:
  1. Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
     
  2. Fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.
Peruntukan Mengenai Fatwa Dalam Undang-Undang

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:
  1. Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang  menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;
     
  2. Mengenai bila sesuatu fatwa itu boleh dibuat, iaitu apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada Mufti, atau dibuat atas kehendak Mufti itu sendiri;
     
  3. Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh Mufti hanya boleh diambil sebagai fatwa jika pernyataan itu disiarkan dalam warta berhubung dengan Hukum Syarak;
     
  4. Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut Hukum Syarak; dan
     
  5. Fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu.
Status Keputusan Jawatankuasa Fatwa MKI
Keputusan/ pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa MKI bukan merupakan fatwa mengikut peruntukan undang-undang. Ia adalah merupakan keputusan/ pandangan hukum yang dicapai secara bersama oleh Mufti-Mufti seluruh Malaysia yang menganggotai Jawatankuasa berkenaan. Keputusan/ pandangan yang dibuat sebenarnya tidak mengikat negeri-negeri, tetapi sebaliknya ia hanya boleh dikuatkuasakan di peringkat negeri jika negeri berkenaan mengambil tindakan atau menerima pakai keputusan/ pandangan tersebut dan menjadikan ianya sebagai fatwa mengikut proses pembuatan/ pengeluaran fatwa negeri masing-masing. Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa MKI hanya merupakan majlis diskusi/ muzakarah bagi membincang dan memutuskan sesuatu isu/ perkara yang memerlukan pandangan hukum khususnya yang berkaitan dengan isu/ persoalan yang bersifat nasional dan  melibatkan kepentingan seluruh persekutuan.

Fatwa: Hukum Pembayaran Zakat Fitrah Melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)

Pembayaran zakat fitrah melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), apakah hukum dengan meggunakan aplikasi ini? Masalah ini seakan menyerupai masalah berkaitan dengan lafaz talak melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).Majlis-majlis fatwa setiap negeri telah bermuzakarah membincangkan masalah ini antara keputusan-keputusan yang telah diputuskan oleh sebahagian negeri-negeri seperti berikut:
                 Melaka
                 Pahang
                 Terengganu

Ahad, 16 Oktober 2011

Kanta Lekap Berwarna-Fatwa Mesir

Soalan.
Apa hukumnya menggunakan kanta lekap, baik laki-laki ataupun perempuan? Dengan mempertimbangkan bahawa kanta lekap tersebut boleh diwarnai, adakah dengan memakai kanta tersebut, mereka diibaratkan orang yang melihat dan terletak dibawah larangan mengubah ciptaan Allah atau memperlihatkan perhiasan kepada selain keluarga atau mahram?

Jawapan
Adalah dibenarkan untuk memakai kanta lekap (berwarna) seperti yang diterangkan di atas kerana ia tidak dianggap menipu si pelihat kerana dianggap sama secara analogi, dengan memakai hiasan luaran yang dibenarkan. Memakai kanta lekap berwarna tidak bererti mengubah ciptaan Allah kerana ia mengikut analogi mewarna rambut,dimana satu-satunya perbezaan antara kedua0dua perkara adalah bahawa mata merupakan sebahagian daripada wajah yang dibenarkan untuk didedahkan manakala rambut tidak dibenarkan didedahkan kecuali di depan pada seseorang mahram dan suami. Kesamaan antara memakai kanta lekap berwarna dan mewarna rambut hanya merangkumi proses pewarnaan yang tidak dianggap mengubah apa yang Allah telah cipta meskipun merupakan adalah menyalahi hukum untuk mengungkap rambut didepan orang lain selain keluarga atau mahram seseorang. Berdasarkan ini, kanta lekap berwarna tidak berada dalam kategori hiasan haram. Dan Allah Maha Besar lebih mengetahui.

Pautan Fatwa Mesir


Sumber dipetik:http://mufti.perlis.gov.my 

FATWA MENGENAI ROKOK

 Antara negeri-negeri yang mewartakan pengharaman rokok:
  1. Selangor
  2. Pulau Pinang
  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

keterangan/Hujah:

1.  Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
 
i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
 
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.
 
iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
 
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
 
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:
 
a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
 
b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
 
c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
 
d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
 
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
 
i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
 
vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.
 
Antaranya seperti berikut:
 
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
 
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
 
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.
 
2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.
 
3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:

“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”

“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
 
Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.